Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu di Malaysia mesti membeli insurans kereta – sekurang-kurangnya Insurans Pihak Ketiga. Jenis-jenis perlindungan yang lain (Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian atau Insurans Komprehensif) adalah pilihan pemandu sendiri.
Mengetahui mengenai pelbagai insurans kereta yang ditawarkan dan perlindungan yang diberikan adalah perkara asas dalam melindungi kepentingan kita dalam jangka masa panjang.
Ringkasan jenis-jenis insurans kereta di Malaysia
Pada dasarnya, ada tiga jenis insurans kereta di Malaysia, bermula dari yang paling asas kepada yang memberi jaminan insurans lengkap kepada pemandu.
Sumber: PIAM
Insurans Pihak Ketiga
Insurans Pihak Ketiga memberi perlindungan kepada anda terhadap kecederaan atau kematian orang lain, serta kerugian atau kerosakan ke atas harta benda pihak ketiga yang disebabkan oleh kenderaan anda. Pihak ketiga yang dimaksudkan di sini adalah orang lain yang terlibat.
Pada asasnya, Insurans Pihak Ketiga memberikan tahap perlindungan minimum kepada anda dalam kes kemalangan. Anda tidak dapat membuat tuntutan ke atas sebarang kerosakan pada kenderaan anda sendiri. Oleh itu, polisi jenis ini ditawarkan pada premium yang lebih rendah berbanding dengan insurans motor yang lain. Insurans Pihak Ketiga ialah tahap perlindungan minimum seseorang pemandu perlu ada untuk perbaharui cukai jalan dan memandu dengan sah di jalan raya.
Insurans Pihak Ketiga adalah sesuai untuk pemandu kereta yang lama atau tidak lagi berada di bawah perjanjian pembiayaan (contohnya sewa-beli). Walaupun insurans jenis ini lebih murah, kereta lama lebih cenderung mengalami kemalangan. Ini bermakna ia mungkin akan makan belanja yang lebih banyak dalam jangka masa panjang.
Proses mendapatkan Insurans Pihak Ketiga mungkin lebih rumit kerana kebanyakan syarikat insurans lebih gemar menguruskan Insurans Komprehensif.
Bagi individu yang ingin memohon Insurans Pihak Ketiga, kemungkinan terdapatnya “premium tambahan” yang perlu ditanggung oleh pemandu. Premium tambahan ke atas premium insurans untuk menunjukkan risiko yang lebih tinggi mungkin perlu dibayar oleh pemandu. Sesetengah syarikat insurans memerlukan pemandu membeli perlindungan insurans (seperti Insurans Kemalangan Peribadi) yang lain untuk mendapat polisi Pihak Ketiga ini.
Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian
Insurans Pihak Ketiga bagi Kebakaran dan Kecurian adalah lebih mahal berbanding dengan Insurans Pihak Ketiga.
Pada asasnya polisi ini melindungi anda (pemandu) dari tuntutan pihak ketiga, sama ada kecederaan tubuh badan atau kematian, kerugian harta benda pihak ketiga atau kerosakan yang disebabkan oleh kenderaan anda. Ini adalah sama dengan Perlindungan Pihak Ketiga, tetapi mempunyai perlindungan tambahan untuk kerosakan akibat kebakaran dan kecurian kenderaan anda.
Selalunya, dalam Perlindungan Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian, jumlah yang diinsurankan untuk kerosakan pihak ketiga adalah tinggi (kadang-kadang tidak terhad), tetapi jumlah diinsurankan untuk kebakaran dan kecurian adalah lebih rendah.
Insurans Komprehensif
Pakej Insurans Kereta Komprehensif meliputi perlindungan yang lebih luas, terutamanya kepada pihak petama dan ketiga (pihak pertama ialah anda, iaitu pemandu, manakala pihak ketiga adalah semua orang lain). Dengan Insurans Komprehensif, anda akan nikmati perlindungan yang sama seperti polisi Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian, dengan perlindungan tambahan ke atas kenderaaan anda sendiri (iaitu tidak terhad kepada kebakaran dan kecurian).
Dalam industri insurans kereta, amalan standard dalam tuntutan kecurian kenderaan atau kerugian keseluruhan adalah untuk membayar ganti rugi kepada pemegang polisi pada nilai pasaran kenderaan semasa kerugian (atau kerosakan) berlaku atau sejumlah yang dipersetujui dalam polisi, yang mana lebih rendah.
Sesetengah syarikat insurans akan bayar balik kepada pemegang polisi atas nilai kereta yang telah dipersetujui sebelumya dalam perjanjian dengan pemegang polisi, tidak tertakluk kepada harga pasaran atau harga jualan semula.
Namun begitu harus diingat bahawa bukan semua orang boleh membeli Insurans Kemprehensif kerana polisi ini selalunya hanya ditawarkan kepada kenderaan yang tidak melebihi had umur tertentu. Pada umumnya anda dinasihatkan mendapat Insurans Komprehensif sekiranya anda memandu kereta yang agak mahal, kerana jika nilai kereta anda tinggi, lebih penting pakej polisi ini kepada pemandunya.
Dalam ketiga-tiga pakej insurans tersebut, kecederaan atau kematian pemandu sendiri atau penumpang pemegang polisi tidak dilindung oleh insurans kenderaan.
Artikel asal di imoney: Mengapa Anda Perlu Membeli Insuran